DUA personaliti yang digandingkan untuk muka depan Mega Hits hari ini tidak memerlukan pengenalan diri yang panjang lantaran masing-masing menempa
kemasyhuran yang bukan calang-calang.
Datuk Siti Nurhaliza Tarudin merupakan buah hati rakyat Malaysia yang kemunculannya tidak menghampakan manakala Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa pula disenaraikan antara pelakon dan pengacara yang berjaya.
Advertisement
Selain kedudukan mereka sebagai artis ternama, Siti Nurhaliza dan Neelofa juga berkongsi aspirasi yang sama dalam perniagaan.
Siti Nurhaliza dan Neelofa bijak merencana masa depan mereka. Barangkali, kedua-duanya menyedari lumrah menjadi anak seni ada pasang dan surutnya maka persediaan untuk menghadapi masa depan harus dibuat awal-awal lagi.
Istimewa sempena lebaran tahun ini, kedua-dua mogul fesyen Muslimah ini kami gandingkan dalam sesi fotografi istimewa sempena Aidilfitri.
MEMBELEK lembaran nashkah kejayaan yang dicoret kemas oleh si cantik ini, pastinya kita akan terpukau dengan kisah-kisah di sebalik satu nama, Neelofa. Seindah namanya yang membawa erti bunga biru, hati sudah jatuh cinta untuk terus menelaah insan yang selayaknya digelar mogul fesyen tempatan.
Memulakan empayar Naelofar Hijab tiga tahun lalu, Noor Neelofa Mohd. Noor mendepani pelbagai onak liku yang sukar untuk dipatri dengan kata-kata. Ya, dilihat lancar dengan mata kasar namun dia sendiri mengakui, cabaran yang perlu ditongkah bukan semudah mematahkan sebatang pensil.
Bersua bicara dengan wanita besi ini, setiap butir kata dibingkaikan dengan bersungguh-sungguh. Bukan mudah untuk bertentang mata apatah lagi berkongsi rasa dan cerita dengan pengacara MeleTop ini yang dibalut indah dengan aura positif.
Kekuatan dan ketabahan permata seni berusia 28 tahun ini seharusnya dipandang tinggi. Bukan hanya berjaya mengukir nama di pentas tempatan namun dia sudah membuka mata pencinta fesyen antarabangsa dengan hanya berbekalkan produk tudung.
Dan sebagai orang ternama, Neelofa juga tentu sekali sangat teruja untuk menyambut kedatangan Syawal dengan keluarga tercinta.
Dia yang akan menyambut Syawal di kampung
halaman di Kelantan dengan keluarga lazimnya menyambut Hari Raya
Aidilfitri secara sederhana.
Sekalipun mampu menyediakan puluhan pasang
baju raya namun Neelofa berkata, memadai empat pasang baju baharu
disediakan untuk lebaran kali ini.
Saya tidak suka membazir. Cukuplah yang ada. Kerana Syawal adalah detik untuk meraikan kemenangan. Kesabaran dan kesederhanaan yang diterapkan semasa Ramadan haruslah diteruskan sehingga Syawal dan sampai bila-bila,
kata jelitawan ini yang begitu santun dan sangat tenang dalam menjawab pertanyaan media.
SITI nurhaliza tarudin sepanjang lebih dua dekad menjadi artis sentiasa menjadi tumpuan media dan masyarakat terhadap apa sahaja kisah kehidupannya.
Pada usia 38 tahun, penghibur kesayangan rakyat ini memiliki segala-galanya dalam hidup - kemasyhuran, kekayaan, kebahagiaan rumah tangga, perniagaan yang berjaya serta kecintaan yang tiada sempadan daripada peminatnya.
Namun untuk sampai pada kedudukan hari ini, Siti Nurhaliza seperti juga artis-artis ternama lain harus melalui pelbagai laluan sukar, dugaan serta pandangan-pandangan skeptikal daripada masyarakat.
Namun semua itu tidak pernah mematahkan semangat juang dan iltizamnya untuk mendaki tangga-tangga kejayaan yang akhirnya meletakkan Siti Nurhaliza di kedudukan nombor satu dalam senarai penyanyi terbaik negara.
Sempena lebaran yang akan disambut hujung minggu ini, Siti Nurhaliza diajak bercerita mengenai sambutan hari raya iaitu hari penuh kebesaran bagi umat Islam di seluruh dunia.
Seperti juga umat Islam yang lain, Siti Nurhaliza sentiasa teruja untuk menyambut lebaran dengan keluarga di bumi tercinta Malaysia.
Dia yang baru saja kembali ke tanah air
selepas mengerjakan umrah di Mekah berkata, Aidilfitri sejak 2009 agak
berbeza buatnya lantaran pemergian ayah tersayang, Tarudin Ismail ke
rahmahtullah.
Pemergian abahnya itu meninggalkan kesan
yang bukan sedikit dalam diri penyanyi nombor satu negara ini kerana
Allahyarham merupakan pendokong utama kerjaya seninya sejak dari awal
pembabitan lagi.
Justeru, pemergian Allahyarham Tarudin
bersama-sama seluruh kasih sayang dan inspirasi itu kata Siti Nurhaliza,
sangat sulit namun sebagai umat Islam dia harus reda dan berlapang dada
menerima ketentuan Ilahi.
Setiap kali lebaran, hati kecil Siti
Nurhaliza pasti akan terusik mengenangkan momen-momen manis yang pernah
dilalui dengan Allahyarham bapanya.
“Tentu sekali raya pada 2009 merupakan raya
yang paling syahdu dan sedih buat saya. Sejak dari tahun itu, lebaran
sudah tidak sama kerana saya tidak lagi berpeluang bersalaman dan
memohon keampunan daripadanya.
“Apapun, abah sentiasa ada di hati saya. Arwah abah adalah inspirasi buat kami adik-beradik,” ujar Siti Nurhaliza.
Dalam meraikan Aidilfitri dengan suami
tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa serta kaum keluarga yang lain,
Siti Nurhaliza sentiasa mengingatkan dirinya mengenai keperluan hari
kemenangan itu diraikan dalam serba sederhana.
Siti Nurhaliza yang sedang mempromosikan
album SimetriSiti berkata, lebaran tidak seharusnya disambut secara
besar-besaran sehingga berlaku pembaziran.
“Raikan hari kemenangan dengan sederhana,
dahulukan yang perlu dan jangan membazir. Paling utama, Aidilfitri juga
biarlah menjadi medan untuk kita sama-sama mengeratkan silaturahim
sesama kita,” kata Siti Nurhaliza menitipkan pesanan.




0 Ulasan