Peluang emas Olimpik makin banyak - Khairy

Ticker

5/recent/ticker-posts

Peluang emas Olimpik makin banyak - Khairy


KUALA LUMPUR : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin kontinjen negara kini tidak lagi bergantung kepada satu jenis sukan saja bagi merealisasikan impian meraih pingat emas pertama pada temasya Olimpik Tokyo 2020.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini berikutan negara boleh menyandarkan harapan kepada tiga atau empat jenis sukan lain yang dilihat berpotensi menghadiahkan kilauan emas pertama pada temasya berprestij itu. 

"Saya melihat pembabitan atlet Malaysia pada temasya itu kian meningkat pada setiap edisi dan kontinjen negara juga berjaya meningkatkan pencapaian dari segi pungutan pingat. 

"Inilah yang saya harapkan pada Olimpik Tokyo 2020 nanti. Berkemungkinan pingat emas pertama Olimpik yang kita amat nanti-nantikan akan diperoleh menerusi beberapa acara yang lain.

"Jika dulu kita hanya mengharapkan emas dari badminton saja tetapi kali ini, ada tiga atau empat sukan yang mampu mencatat kejayaan tertinggi pada temasya itu nanti," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Olimpik di ibu negara, hari ini. 

Mengulas lanjut mengenai hasrat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membida tuan rumah temasya berprestij itu, Khairy menegaskan ia tiada dalam perancangan kerajaan dalam masa terdekat ini.

"Kita boleh pertimbangkan mengenai perkara ini kerana jika tidak membuat bidaan selaku tuan rumah tunggal, kita boleh bekerjasama dengan negara jiran terdekat. 

"Tetapi ia bukanlah dalam jangka masa terdekat ini. Namun sekiranya kita berkemampuan untuk menganjurkan temasya ini, kita boleh pertimbangkan dalam jangka masa 20 tahun akan datang," katanya.


Sumber : Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan