Mohd. Zainuddin Hassan (kiri) bersama ahli keluarganya mengenakan tanjak sempena Aidilfitri kali ini.
PASIR MAS 27 Jun - Sebuah keluarga dari Kampung Banggol Nangka, di sini tampil dengan kelainan dengan memakai tanjak menggantikan songkok atau kopiah bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Wakil keluarga tersebut, Mohd. Zainuddin Hassan, 39, berkata, pemakaian tanjak oleh ahli keluarganya dilakukan sejak empat tahun lalu dan usaha mereka itu mendapat reaksi positif penduduk kampung serta saudara-mara yang lain.
"Idea untuk memakai tanjak itu diilhamkan oleh adik saya, Mohd. Ridzuan, 36, yang merupakan pelukis pelan di sebuah syarikat minyak dan gas.
"Mohd. Ridzuan mereka dan menjahit tanjak tersebut untuk kami sekeluarga," katanya kepada Utusan Online.
Mohd. Zainuddin memberitahu, dia dan keluarga memilih untuk mengenakan tanjak menggantikan songkok kerana mahu mempromosikan semula pakaian warisan Melayu yang semakin hilang ditelan zaman.
"Tanjak turut dipakai oleh anak-anak kami yang masih kecil dan mereka menyukainya. Ini merupakan sebahagian daripada usaha kami sekeluarga untuk memperkenalkan tanjak kepada generasi muda," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd




0 Ulasan